Pendidikan Anak-anak dan Remaja

Ayah dan ibu

“Dan Tuhanmu telah memerintahkan agar kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai berusia lanjut dalam pemeliharaanmu, maka janganlah engkau mengatakan kepadanya perkataan “ah” dan janganlah engkau membentak keduanya  dan ucapkanlah kepada keduanya perkataan yang baik.” (Al-Isra’:23)

Sepotong ayat yang cukup cantik dan tidak sukar difahami oleh setiap insan yang membacanya. Tidak memerlukan seseorang yang berpendidikan tinggi untuk menafsirnya, namun begitu masih ramai umat Islam yang membacanya hanyalah sekadar membaca, tanpa ada rasa ingin menghayati ayat-ayat suci Al-Quran yang dibaca.

Masih ingat lagikah kita pada peristiwa tahun lepas bagaimana pasangan warga emas terpaksa memfailkan tuntutan di mahkamah apabila anak mereka tidak menunaikan hak sebagai seorang anak kepada ibu bapa. Bukan setakat hak tidak ditunaikan, malah ibu bapa turut diusir keluar dari rumah.

Cubalah kita bayangkan, bagaimana seorang anak sanggup menghalau keluar ibu bapanya dari rumah mereka sendiri sedangkan Allah SWT sendiri melarang seorang anak itu berkata walaupun “ah” pada kedua ibu bapa? Cubalah kita fikirkan sejenak di manakah tahap moral masyarakat Melayu dan Islam kita pada hari ini di tahap mana, sedangkan dalam masa yang sama Allah SWT mengarahkan hamba-Nya berbuat baik kepada kedua ibu bapa.

Tidak cukup dengan masalah ibu bapa dihalau keluar dari rumah dan tanggungjawab anak terhadap ibu bapa tidak ditunaikan, ada ayah yang turut diugut dan dikurung oleh anak-anaknya hanya kerana inginkan wang dan harta.

Ibu bapa dihalau keluar dari rumah, diugut, dikurung, dan banyak lagi layanan-layanan teruk terhadap kedua orang tua yang tidak tersiar di dalam akhbar yang berlaku dalam masyarakat kita hari ini yang mana jika kita ingat kembali kenangan sewaktu kita kecil, adakah layanan-layanan sebegini yang kita terima dari dua orang insan yang sangat diangkat tinggi darjatnya oleh Allah SWT?

Islam yang kita anuti ini ialah agama yang benar dan syumul. Agama ini bukan sekadar solat lima waktu, bukan sekadar berpuasa di bulan Ramadhan, bukan sekadar menunaikan zakat, bukan sekadar menunaikan haji, bukan sekadar bersedekah, bukan sekadar berbuat baik sesama umat Islam, tetapi ianya satu agama yang sempurna mencakupi setiap aspek kehidupan bermula dari kita bangun dari tidur hinggalah kita terjaga kembali dari tidur keesokannya.

Islam yang kita anuti ini turut memerintahkan kita menjaga kedua ibu bapa dan melayan mereka dengan baik apabila usia mereka sudah lanjut. Diterangkan Allah SWT dengan jelas di dalam Surah Al-Isra’ ayat ke 23. Allah SWT mengajar hambanya bagaimana cara yang sepatutnya melayan kedua ibu bapa. Allah SWT menyuruh anak-anak melayan ibu bapa dengan baik dan bukannya berkata kasar pada mereka. Malah Allah SWT turut mengajar kita bagaimana cara mendoakan kedua ibu bapa di dalam Surah Al-Isra’ ayat ke-24,

Dan rendahkanlah dirimu terhadap keduanya dengan penuh kasih sayang dan ucapkanlah, “Wahai Tuhanku! Sayangilah keduanya sebagaimana mereka berdua mendidik aku pada waktu kecil.” (Al-Isra’:24)

Allah SWT turut berfirman di dalam Surah Luqman ayat ke-14;

Dan Kami perintahkan kepada manusia (agar berbuat baik) kepada kedua orang tuanya. Ibunya telah mengandungkannya dalam keadaan lemah yang bertambah-tambah, dan menyusunya dalam usia dua tahun. Bersyukurlah kepada-Ku dan kedua orang tuamu. Hanya kepada Aku kembalimu. (Luqman:14)

Rasulullah SAW turut menuntut umatnya agar sentiasa berlaku baik terhadap kedua ibu bapa;

Abu Hurairah r.a. dari Nabi SAW bersabda: “Sungguh kecewa, sungguh kecewa dan hina, sungguh kecewa, siapa yang mendapatkan kedua ayah ibunya atau salah satunya sampai tua, kemudian ia tidak masuk syurga” (Hadith riwayat Muslim).

Hadith di atas menggambarkan bagaimana mudahnya seseorang itu untuk masuk syurga, tetapi dengan syarat, dia berbakti kepada kedua orang tuanya dan dia turut mendapat doa dan keridhaan dari kedua orang tuanya.

Ridha dari kedua ibu bapa hanyalah boleh kita kecapi jika mereka merasa puas dan seronok dengan layanan yang kita berikan semasa hayat mereka. Bagaimanakah nasib kita di akhirat kelak jika kedua ibu bapa tidak meredhai layanan yang kita berikan semasa hayat mereka di dunia? Marilah sama-sama kita renungkan.

Sibuk dengan kerja, keluarga, program atau dakwah sekalipun bukanlah alasan untuk kita mengabaikan tanggungjawab kita sebagai anak kepada kedua ibu bapa kerana tanggungjawab mereka membesarkan kita tidak pernah sedikitpun diabaikan. Jikalau sibuk sekalipun, nasihat yang dapat diberikan, susunlah urusan kehidupan masing-masing agar masa bersama ibu bapa tetap ada.

Tidak kira apa pun pangkat kita, jawatan kita, sampai mana tahap pengajian kita, berapa kayanya kita, besar macam mana pun rumah kita, tetapi jika layanan teruk yang kita berikan terhadap kedua ibu bapa kita, percayalah akan ada balasan yang setimpal menanti kita di hari pembalasan kelak. Hayati nasihat ini sebelum kedua ibu bapa kita menghembuskan nafas mereka yang terakhir.

Oleh: Ahmad Zikri Zainudin
Setiausaha ISMA New Zealand
Sumber: Laman Web ISMA-New Zealand

  • Share/Bookmark

Perangi zina demi atasi gejala buang bayi

Apakah yang akan anda lakukan jika atap rumah tiris? Mungkin langkah segera ialah sediakan bekas untuk menadah air hujan yang menitis. Tapi untuk jangka panjang, anda perlu baiki atap rumah itu, kerana di situ letaknya punca kejadian. Kebiasaannya, atap yang ditampal juga tidak tahan lama. Tukar atap baru, barulah selesai masalah.

Kita jumpa ramai orang buang anak seperti kita jumpa banyak lubang tiris. Lalu kita kelam kabut mencari bekas untuk ditadah, seperti “Baby Hatch”, sekolah hamil dan sebagainya. Adakah langkah sebegitu perlu? Jawapannya ya. Tapi adakah ia menyelesaikan masalah? Jawapannya sudah tentu tidak.

Buang anak adalah akibat zina, kerana orang yang hamil secara halal tidak akan membuang anaknya. Manakala zina itu sendiri adalah akibat perbuatan lain, iaitu pergaulan bebas.  Seterusnya kita mesti mencari jawapan apakah punca kepada pergaulan bebas dan faktor-faktor penyuburnya? Jangan terkejut jika kita dapati pihak yang kelam kabut cari “bekas tadahan” tadi juga ada “saham” menyubur pergaulan bebas.

Mengenakan tuduhan membunuh ke atas si pembuang bayi merupakan langkah kerajaan untuk membendung gejala buang bayi. Tetapi langkah tegas itu masih berada dalam lingkungan merawat, bukan mencegah, atau dengan perumpamaan tadi ia masih berlegar dalam mencari bekas terbaik untuk menadah air hujan yang tiris.

Bagaimana dengan gejala zina yang menjadi punca kepada gejala buang anak? Mengapa perkara ini tidak sampai ke tahap menjadi agenda khusus kabinet untuk mencari jalan penyelesaian segera seperti mereka membincangkan gejala buang anak?

Sebabnya ialah semua sepakat memandang kotor gejala buang anak, tapi tidak sepakat memandang jijik gejala zina. Buktinya jelas apabila ada pemimpin yang mengaku berzina pun masih diterima sebagai pemimpin hingga ke hari ini. Gerakan yang anti undang-undang Islam pun masih dibiarkan bebas meracuni pemikiran masyarakat.

Tidak sepakat memandang jijik zina adalah hasil serangan pemikiran Barat. Anggapan bahawa perbuatan zina adalah isu peribadi individu terbabit memang cedokan tulen pemikiran Barat. Pemimpin politik tidak berani menentang cara fikir asing ini kerana perkiraan-perkiraan untung rugi politik, selain ia telah berleluasa di kalangan pemimpin, rakan dan ahli keluarga sendiri.

Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) menyedari dan menginsafi sejak awal lagi bahawa penyelesaian hakiki bagi masalah ini ialah dengan mendidik generasi muda. Ungkapan yang popular di sisi aktivis ISMA ialah tarbiyah. Kalau atap bocor, kita tampal, tapi untuk jaminan jangka panjang seeloknya kita tukar dengan atap yang lain.

Itulah rahsia di sebalik pemilihan “Membina Generasi  Harapan” sebagai motto ISMA. Ia menggambarkan usaha-usaha gigih mendidik generasi muda, remaja dan belia, melalui pelbagai aktiviti bina insan, agar mereka memiliki keperibadian Islam sejati dan kembali kepada pemikiran Islam tulen.

Di samping itu kita juga meyakini bahawa penguatkuasaan undang-undang Islam berkaitan zina juga adalah termasuk dalam langkah mendidik umat. Ini kerana undang-undang Allah itu bersifat mendidik dan mencegah. Bagaimanapun sekali lagi kita akan berdepan dengan gejala keracunan pemikiran Barat apabila orang Islam sendiri melatah kerana malu kepada orang Barat apabila ditayangkan hukuman rotan seratus kali atau rejam sampai mati sebagai kuno dan tidak bertamadun.

Sesungguhnya racun pemikiran Barat ini hanya boleh dilawan dengan usaha melahirkan generasi yang mempunyai pemikiran Islam sejati. Barat telah menanam pemikiran mereka melalui pendidikan merentasi era penjajahan, pasca penjajahan dan pasca moden. Serangan melalui pendidikan ini mesti dihadapi dengan serangan pendidikan juga. Benarlah kata as-Syahid Hasan al-Banna,

“?? ??????? ????? ??????”

“Sesungguhnya pertempuran kita adalah pertempuran pendidikan”.

“Membina Generasi Harapan”

“Melayu Sepakat, Islam Berdaulat”

Ustaz Mohd Hazizi bin Abdul Rahman,
Ketua Biro Media & Penerangan ISMA

Blog: Menuju Perubahan

  • Share/Bookmark

Buang anak, di mana penyelesaiannya?

Riuh rendah kes buang bayi  dan gejala zina di kalangan masyarakat Malaysia, samada Islam dan bukan Islam tidak pernah berhenti. Kes ini sebenarnya berlaku sepanjang masa, bertambah teruk saban hari dan ketika.

Pelbagai usul, cadangan, forum perbincangan dari sekecil kedai kopi hingga ke dewan parlimen riuh dengan isu ini.

Pelbagai juga reaksi masyarakat dari segenap lapisan, tua atau muda, kaya atau miskin, di bandar atau di kampung. Bagi yang tua, mereka menyalahkan generasi muda yang tidak mengetahui baik buruk dan batas adat dan agama. Bagi yang muda, kegagalan orang tua yang menjadi contoh dan model terbaik untuk diikuti menyumbang pada rosaknya generasi mereka.

Tapi tua atau muda, dua-dua terlibat dalam kes berat ini. Walaupun orang tua tidak buang bayi kerana telah matang dan berpengalaman, namun kes zina, sumbang mahram, perceraian juga melibatkan orang tua-tua. Orang muda tidak tahu menetak isteri dengan parang, atau menyimbah asid pada suami.

Golongan muda masih jahil menetak parang dan menyimbah asid. Mereka takut. Mereka tidak tahu hubungan yang mereka lakukan boleh menghasilkan bayi. Mereka kerdil dan naif. Mereka hanya mahu berseronok.

Jadi yang muda bunuh bayi, yang tua bunuh sama sendiri. Semuanya kerana nafsu tidak terkawal, nafsu berseronok dan nafsu zina.

Sama juga halnya dengan yang di kampung dan di bandar. Kes buang bayi tidak hanya di bandar, tapi juga di kampung. Gejala zina mungkin banyak di hotel-hotel murahan, tapi apa kurangnya di hutan atau air terjun di pedalaman, ladang kelapa sawit, rumah tunggu durian di dusun di hulu kampung.

Semuanya terpalit dengan gejala zina. Tua atau muda.

Juga tak kurang hebatnya samada miskin atau kaya. Yang si miskin buat cara miskin. Yang kaya buat cara kaya dan berstatus. Bezanya mungkin pada gaya, orangnya, tempatnya. Si miskin mungkin suka sama si miskin. Si kaya mungkin suka pada yang berstatus sama dengannya. Pokok pangkalnya semua sudah diresapi dengan gejala zina.

Aduhai bangsaku, insaflah. Kita ini Melayu, bangsa yang mulia. Mulia kita bukan dengan candi di Lembah Bujang, mulia kita bila kita memeluk Islam. Islamlah yang memuliakan kita.

Nun di sana riuh rendah lagi semua pihak yang tampil mahu menyelesaikannya. Ada yang mahu hukuman bunuh, ada yang mahu baby hatch, ada yang mahu sekolah untuk pelajar hamil, ada yang mahu rendahkan umur pernikahan, dan yang terbaru, ada yang menyuruh nikah gantung.

Seruan-seruan kosong ini tidak akan lari dari masalahnya. Memadamkan api bukan dengan menghilangkan asap. Air dari bumbung yang tiris bukan hanya perlu ditadah, tapi dibaiki bumbungnya itu.

Jiwa-jiwa penzina dan pendosa yang saban hari makin disubur dengan pelbagai punca. Cukuplah hedonisma cetakan barat yang kita tiru tanpa tapisan. Pihak berwajib buta hati tentang masalah ini. Mana lagi senang antara menghukum bunuh atau menapis dan menghalang unsur dosa, zina, seks dalam masyarakat? Sekatlah puncanya, kemudian barulah hukum mereka. Ibarat memenuhkan air dalam tangki yang sedia bocor.

Jiwa masyarakat berdosa dan penuh gejala zina ini perlu dididik. Jadi di sini ISMA mengatakan, segala cadangan yang bernas untuk mengurangkan gejala buang bayi ini perlu memikirkan punca asal iaitu zina itu sendiri. Sebarang kempen menjauhi zina adalah amat baik. Tetapi tidak boleh setakat itu sahaja. Terapkan nilai keimanan dan ketaqwaan pada Allah swt.

ISMA sememangnya menggunakan pendekatan holistik bersepadu untuk membangkitkan generasi rabbani yang boleh diharapkan membawa risalah kebaikan di dunia ini. Disebabkan itulah, pendekatan pembinaan generasi ISMA bermula dari sekecil-kecil manusia, iaitu NAZIM (Nadi Asybal wa Zahrawat / Kelab Simba dan Jasmin). Ia merangkumi anak-anak kecil sedari umur 4 tahun hingga awal remaja. Untuk remaja, ISMA menubuhkan Kelab Remaja ISMA (KRIM). Ia mendekati remaja di umur persekolahan. Pelbagai program dan rancangan yang membina jatidiri remaja berasaskan Islam ditekankan pada peringkat ini.

Peringkat belia universiti adalah peringkat progresif seorang manusia. Aktivisme seseorang itu mencapai peringkat optimum. Jadi Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) tampil mengambil bahagian merancakkan pembinaan belia dan menyambung rantai pendidikan Islam yang sudah dibina dari NAZIM dan KRIM.

Umur belia akan mencapai tahap matang, kemudian wadah perjuangan membina generasi harapan ini diteruskan hingga akhir hayat bersama ISMA. Perjuangan dari buaian hingga liang lahad ini adalah perjuangan membina manusia, generasi harapan yang beriman, bertaqwa, berdakwah dan berjuang.

Kemudian sebut sahaja apa, zina, rompak, rogol, rasuah, buang bayi, hedonisma, dan lain lain lagi. Semuanya akan diselesaikan.

Oleh: Zul Alwi Adam,
Ketua Biro Media & Penerangan,
ISMA Cawangan Shah Alam & Klang
Sumber: Laman Web ISMA Shah Alam & Klang

  • Share/Bookmark

Penelitian tentang keunikan generasi

1. Pertama, adanya generasi yang disebut ‘The Greatest Generation’

Iaitu generasi yang lahir dalam lingkungan tahun 1901-1920.  Pada generasi ini lahir pemimpin-pemimpin besar dunia seperti Winston Churcill,  George W Bush dan lain-lain.

Ramai di kalangan datuk dan nenek kita yang lahir pada zaman ini. Ada juga antara kita ibu bapa mereka lahir pada zaman ini.

2. Generasi kedua ialah  ‘The Silent Generation’

Terdiri daipada generasi yang lahir pada 1921-1940. Disebut demikian kerana masa ini tidak melahirkan tokoh-tokoh besar.

3. Generasi ‘Baby Boomer’ (1941-1956)

Kebanyakan generasi ini lahir dari pasca perang dunia kedua. Mereka tidak kaya. Ada di kalangan mereka yang kerja kerajaan. Pencen sekitar tahun  2000-2012. Mereka merupakan generasi terakhir zaman industri.

4. Generasi seterusnya ialah ‘Baby Buster’ (1957-1969)

Generasi “moden”. Ia dipanggil ‘baby buster’ kerana ia berlawanan dengan ‘baby boomers’. Di mana peperangan sudah berakhir. Orang sudah mula kuat bekerja dan sudah mula mengabaikan keluarga dan kasih sayang. Generasi yang melihat perang dingin.

5. Generasi-X (1970-1985)

Kenapa generasi ini disebut generasi “X”? Sekelompok pengkaji Inggeris mendapati keanehan pada anak-anak remaja pada zaman itu. Ada 4 keanehan yang ditemui:

  • They sleep together before marriage (mereka tidur bersama sebelum menikah).
  • They don’t believe in god (mereka tidak percaya Tuhan).
  • They don’t respect parents (mereka tidak hormat ibu bapa).
  • They dislike Queen (mereka tidak menyukai ratu Inggeris).

Setelah diselidiki, didapati generasi “X” lahir dari generasi boomer yang kuat bekerja, di mana wang dan karier menjadi keutamaan mereka yang mengakibatkan terlalai untuk keluarga dan kasih sayang terhadap anak-anak. Generasi “X” merupakan generasi yang tidak pandai mengasihi kerena mereka tidak pernah merasa kasih sayang.

Generasi “X” terbahagi kepada 2 sub generasi:

  1. Generasi MTV (1970-1980), ada di kalangan generasi ini yang sempat melihat era sebelumnya, tempoh peralihan sebelum masuk ke generasi internet. Generasi ini membesar dalam era 80-an. Melihat keruntuhan tembok Berlin. Sedar tentang keruntuhan Soviet Union. Lahirnya bilionair muda seperti  pengasas Yahoo dan Google sekarang. Generasi ini adalah generasi zaman peralihan antara idea zaman industri dan  idea zaman informasi.
  2. Generasi Boomerang (1981-1985), generasi peralihan Gen-X ke Gen-Y. Sempat juga merasakan kehidupan zaman MTV, tapi dah penghujung. Mungkin kerana mereka lebih  celik dan ke depan dalam bab komputer dan internet, ketika usia remaja mereka sudah diperkenalkan dengan teknologi tersebut. Ibu bapa mereka pernah mengalami kelembapan ekonomi sekitar pertengahan 80-an. Lalu berlakulah New World Order dan idea-idea futuristik dan sekitar konsep globalisasi. Generasi ini kelihatannya sudah tidak berpegang dengan idea industri.

6. Generasi-Y (1986-2001)

Kemudian muncullah generasi “Y”, yang lahir pada sekitar 1981-2001. Generasi ini lebih parah lagi. Mereka harus berdepan dengan pendidikan yang lebih mahal, rumahtangga berantakan, perceraian ibu bapa, ada di kalangan mereka yang lahir daripada keluarga yang kaya (helicopter parents), dan ada yang dibesarkan dari keluarga homoseksual (same sex parents).

Mereka lahir zaman Soviet Union sudah runtuh. Amerika menjadi kuasa unggul dunia. Ini permulaan generasi internet. Celik-celik dah kenal playstation, game dan seumpamanya.

7. Generasi-Z (2001-?)

Generasi baru. Tak sempat tengok WTC runtuh. Tau-tau Amerika dah jadi ketua pemimpin anti keganasan.  Celik-celik dah ada email. Bila ibu memasak, ibu letak dalam walker tengok Astro, tonton rancangan AF dan rancangan realiti TV. Mereka tak boleh hidup tanpa handphone. Agak awal untuk kita mengenal pasti generasi ini kerana mereka masih berada dalam lingkungan usia 9 tahun ke bawah.

Yang pastinya sekarang ialah dunia sedang berhadapan dengan generasi-Y, generasi yang dikenali dengan Generasi Digital, ‘Echo Boomers’ atau Generasi Millennium. Gen-Y cenderung bersikap mandiri, sangat visual dan tidak sabar terhadap hal-hal yang tidak sesuai dengan selera dan keperibadian mereka yang unik.

Penelitian keunikan generasi ini secara umumnya lebih memihak kepada fikrah bukan Islam dan orang bukan Islam terutama Barat. Kerana mereka yang banyak mengawal dan mencorakkan perkembangan semasa dunia menurut agenda dan selera mereka. Namun bagi kita ummat Islam kita mempunyai identiti dan sejarah kita sendiri, malahan juga mempunyai agenda dan cita-cita tersendiri di bumi Allah ini. Setiap fasa usia zaman pasti ada tokoh yang kita segani bagi pihak kita malahan menggerunkan musuh.

Empayar Islam telah  melalui fasa permulaan dakwah di Mekah, fasa penegakan daulah Islamiyyah di Madinah, dan fasa pemerintahan Khulafa ar-Rasyidin. Empayar Islam terus berkembang luas di zaman-zaman pemerintahan kerajaan Islam Daulah Umayyah, Abbasiyyah dan Uthmaniyyah.  Apa yang mereka ungkapkan pada generasi kedua sebagai “silent generation” sebetulnya tidak terkena kepada kita ummat Islam. Walillahi Izzati wali Rasulihi walil mukminin.

Demikian juga apa yang dikatakan generasi ketiga iaitu “Baby Boomers” sudah berakhir dengan berakhirnya perang dunia ketiga. Bagaimana hendak kita katakan dengan rakyat Palestin yang sehingga kini masih bertemankan hidup dengan bom dan peluru? Apakah mereka tidak bersama masyarakat dunia yang lain merentas zaman? Zahirnya mereka adalah mangsa kuasa besar zaman millennium yang Allah anugerahkan mereka untuk meraih pahala syahid walau tidak bersama Rasulullah dan para sahabat dalam peperangan Badar, Uhud, dan Ahzab.

Sebagai daie yang berhadapan dengan ummat manusia yang berbagai ragam dengan perubahan era dan zaman  perlu peka dengan segala yang berlaku. Sentiasa menaiktarafkan sistem dan metodologi dakwah dan kepimpinan agar menghasilkan natijah yang baik setimpal dengan cabaran masa kini.

ALLAHU AKBAR WA LILLAHIL HAMD!!!

Ustazah Norlida bt Kamarudin,
Naib Ketua Wanita,
Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)

Blog: Almukhlisah

  • Share/Bookmark

Memenangi anak dan pelajar

Saya gemar menonton filem-filem yang memberi inspirasi. Kebanyakan filem yang saya tontoni banyak berkaitan dengan isu masyarakat secara umum, mahupun dengan anak-anak muda, remaja dan belia. Mungkin kisah-kisah seperti Laskar Pelangi, the Dead Poet Society, My Name is Khan adalah antara filem yang kita pernah tonton dan dengar. Jujurnya memang tidak dapat dinafikan bahawa bukan kesemua isinya kita boleh terima bulat-bulat, namun ada isinya yang memberi manfaat. Lebih menarik apabila filem tersebut mengisahkan sebuah kisah benar tentang seseorang.

Namun, entri kali ini sebenarnya ingin membincangkan sebuah filem yang saya tontoni, Take the Lead, lakonan Antonio Banderas sebagai Pierre Dulaine. Beliau ialah seorang guru tarian yang bekerja di sebuah studio tarian di New York. Filem ini mengisahkan pengorbanan beliau mengajar tarian kepada sekumpulan pelajar yang bermasalah di sekolah menengah di New York. Latar filem ini ialah ketika kebanjiran pengaruh African-American meresapi masyarakat, terutama kepada anak-anak muda, bukan sekadar dalam bentuk akhlak, malah percakapan, dan juga tarian. Penglibatan remaja dengan gejala pengedaran dadah, jenayah, sosialisasi melampau dan sebagainya adalah suatu kebiasaan. Pierre Dulaine yang merupakan seorang guru tarian Ballroom (Tango, Fox-Trot, Waltz, dll) mendidik pelajar-pelajar bermasalah ini dengan disiplin dalam tarian ballroom yang mengutamakan maruah, disiplin dan lain-lain. Keberjayaan teknik beliau diperluaskan penglibatan 42 guru tarian dan 12 000 orang pelajar di 120 buah sekolah di New York dan kini diperluaskan ke seluruh Amerika dan Kanada.

Tidak perlu diulas lebih lanjut filem tersebut, namun teknik yang digunakan beliau dalam mengajar pelajar-pelajar kategori bermasalah amat menarik dan boleh digunapakai dalam situasi yang pelbagai, termasuklah di dalam kelas, semasa kem, juga dalam keluarga sendiri. Tekniknya mudah dan amat praktikal, antara yang saya sendiri gunakan semasa mengendalikan kem dan juga berinteraksi dengan peserta-peserta. Saya akan memudahkan teknik-teknik yang digunakan oleh Pierre Dulaine supaya ianya boleh digarap secara umum dan menjadi praktikal dalam setiap situasi.

Hormat dan Belas

Biasa mendengar pepatah inggeris berbunyi ‘if you want respect, earn them’? begitulah juga dalam hubungan kita dengan siapa kita bergaul. Andainya situasinya ialah seorang guru dan anak murid, kita perlu menghormati hak mereka dan diri mereka sekiranya kita mahukan yang sama daripada mereka. Hak murid perlu difahami oleh para guru sesuai dengan umur mereka. Sebagai contoh, anak-anak murid semuda tujuh tahun pasti akan banyak bertanya, dan lincah bergerak, kerana itu ialah fitrah mereka, maka hak mereka perlu dihormati. Sekiranya kita mahu mereka memberikan perhatian kepada pengajaran di dalam kelas, maka kita perlu memastikan bahawa teknik pengajaran kita mampu menarik minat mereka.

Begitu juga dengan anak-anak, menghormati mereka selayaknya siapa mereka, maka mereka akan merasakan bahawa mereka mendapat tempat dalam diri kita dan akan membalas hal yang sama. Erik Erikson, dalam teorinya Peringkat Kehidupan (stages of life) menyebut bahawa peringkat pertama pada usia 0-1 tahun (kadang-kadang menjangkau lebih) ialah Kepercayaan vs. Ketidakpercayaan. Sekiranya ibu bapa mampu memberi perhatian, hak anak-anak seperti makanan, kasih sayang dan seumpamanya, maka anak-anak akan memberikan kepercayaan mereka kepada orang tersebut. Maka tidak hairanlah apabila seseorang yang tidak dikenali cuba untuk mendukung satu-satu bayi, dia akan menangis, bukan kerana dia ialah orang yang tidak dikenali, tetapi dia belum mendapat kepercayaan bayi tersebut.

Perasaan belas dalam konteks ini lebih kepada empati, iaitu kita memahami situasi seseorang tersebut dan bersedia menerimanya dalam keadaannya sedia ada, dan bersedia untuk memimpinnnya ke jalan yang lebih baik, meskipun banyak rintangan yang menanti. Ini adalah antara teknik yang paling menyerlah digunakan oleh Pierre Dulaine dalam filem tersebut dan meladeni karenah pelajar-pelajarnya yang sentiasa mengikut kehendak sendiri. Menghadapi karenah-karenah anak-anak dan juga pelajar menuntut kita untuk banyak bersabar, kerana pasti ada yang akan mencuba untuk menguji kesabaran kita. Di sini peranan skil keibubapaan ‘authoritative’ memainkan peranan. Seperti yang ditulis dalam artikel-artikel sebelum ini, menjadi ibu-bapa atau guru yang autoritatif bermaksud kita menjadi pengamal sederhana, dalam erti kata lain, kita tidak terlampau longgar, dan tidak pula terlampau ketat sehingga mereka tidak mampu untuk menjana minda dan kreativiti pemikiran. Berikan ruang kepada mereka untuk belajar, berkembang, tetapi dalam masa yang sama, tetapkan undang-undang bersama yang disepakati dua-dua belah pihak.

Hadir Bersama

Hadir bersama dalam teknik Pierre Dulaine bukanlah semata-mata bermaksud berada di situ semasa sesi pembelajaran, tetapi jiwanya turut berada di situ. Ada daripada guru-guru dan ibu bapa yang berada di sisi anak-anak mereka, tetapi perhatiannya beralih ke hal lain, pemikirannya melangkaui anak-anak di depan mata. Keikhlasan dan jelasnya matlamat perlu ada semasa berada bersama-sama mereka, ini memastikan bahawa mereka berasa benar-benar diberi perhatian. Bahkan, apabila jasad yang kosong berada di dalam kelas, mereka akan mudah merasainya, dan mula menjauhkan diri dari sesi tersebut.

Menyediakan Persekitaran yang Selamat

Menyediakan persekitaran yang selamat bukan sahaja merujuk kepada keselamatan fizikal daripada kebahayaan, tetapi juga keselamatan mental dan emosi. Di dalam kelas bahasa Inggeris, ia memang sukar untuk dielakkan daripada pelajar berasa malu di hadapan rakan-rakan sebaya yang lain. Maka, tugas seorang guru ialah memastikan bahawa mereka berasa selamat untuk bercakap bahasa tersebut. Saya pernah menggunakan teknik ini semasa kem bahasa inggeris di SMA Rembau. Amat jelas inferioriti para pelajar untuk bercakap bahasa inggeris, maka tindakan saya sebagai fasilitator untuk memastikan mereka berasa selamat untuk bercakap bahasa tersebut ialah, saya katakan ‘it’s okay to make mistake’. Stigma para pelajar ialah kalau ingin bercakap bahasa Inggeris, mesti bercakap dengan tatabahasa yang betul. Seperti yang saya nyatakan di atas, kita perlu bersedia menerima mereka seadanya dan bersedia untuk memimpin mereka kepada perubahan meskipun banyaknya rintangan.

Kuasa dan Kawalan

Di sini ia berkait dengan skil autoritatif tadi, iaitu kita memberikan mereka ruang, tetapi ada hadnya. Di sini siapapun anda (guru atau ibu bapa), anda perlu memastikan bahawa anda memegang kuasa dan kawalan dalam situasi tersebut. Bermula dari awal kelas sehingga tamat sesi, anda perlu pastikan kuasa milik anda. Antara cara untuk memastikan kuasa dan kawalan di pihak anda ialah membuat undang-undang dan hukuman yang disepakati bersama. Apabila para pelajar atau anak-anak mula menunjukkan tanda-tanda akan melanggari undang-undang tersebut, maka berilah amaran, atau ingatkan mereka. Sekiranya mereka melanggar undang-undang tersebut, maka dendalah mereka menurut hukuman yang disepakati tadi. Di sini pelajar atau anak-anak tidak akan mempersoalkan mengapa mereka didenda, kerana mereka tahu mereka telah melanggar undang-undang, dan mereka telahpun diberi amaran, sekiranya mereka gagal, maka hukuman itu setimpal bagi mereka.

Sesetengah pelajar atau anak-anak ada yang cuba untuk mencabar undang-undang tersebut, dan kerap kali mengulang tindakan yang sama meskipun amaran telah diberi. Di sini, para guru atau ibu bapa jangan hanya berkata-kata, tetapi laksanakanlah hukuman tersebut, kerana sekali anda tidak menunaikan kata-kata anda, mereka akan berani mencabarnya lagi dan berkata, ‘alah, cikgu bukan denda pun, cakap je’. Hukuman juga perlu dibuat serta-merta bukan ditangguh, kerana pelajar boleh terlupa dan di saat anda ingin menghukum mereka, ianya tidak lagi relevan kerana mereka telah melupakan punca hukuman tersebut, bahkan mungkin akan menyalahkan anda kerana menghukum mereka.

Bahasa: Gaya dan Lisan

Bahasa merupakan aset penting dalam pendidikan, ia memainkan peranan penting dalam menyampaikan maklumat. Bahkan ia samada boleh memberi ancaman ataupun pujian. Maka manfaatkanlah kedua-duanya. Sekiranya pelajar atau anak anda mendapat kecemerlangan dalam satu-satu bidang, pujilah dia, atau berikan tepukan lembut di bahu sambil memuji dan memberi ucapan tahniah kepada mereka. Anda akan melihat suatu perubahan pada mereka, secara mendadak. Sekali lagi, jangan tunggu sehingga isu telah basi baru hendak memuji, ketika itu ia bukan lagi suatu hal yang penting baginya.

Bahasa juga boleh memberi ancaman. Diamnya anda di dalam kelas boleh menyebabkan seluruh kelas diam kurang dari seminit, renungan tajam anda boleh ‘membunuh’ hasrat pelajar untuk terus melakukan kesilapan. Tetapi gunakanlah untuk kebaikan, bukan untuk memenuhi kehendak kita.

Jenaka dan Keseronokan

Elemen penting dalam pendidikan, keseronokan supaya para pelajar dan anak-anak berasa mereka tidak dipaksa belajar, bahkan mahu untuk belajar kerana seronoknya sesi pembelajaran tersebut. Pelbagaikan bahan mengajar anda, jangan hanya ‘chalk and talk’, pelajar tidak akan ke mana kalau begitu. Janalah pemikiran kreatif dan kritikal mereka ke arah yang lebih baik. Berjenaka seadanya, kadang-kadang jenaka sinis dan perlian boleh membuatkan mereka berfikir.

Pelajar dan anak-anak adalah pemimpin masa hadapan, bantulah mereka dalam membuat pilihan yang betul dalam kehidupan. Bukan mengikut apa yang kita rasa betul, tetapi mengikut apa yang mereka mampu untuk capai, dengan panduan al-Quran dan Sunnah. Pelajar dan anak-anak tidak dilahirkan jahat ataupun bermasalah, dia dijangkiti oleh orang di sekitarnya.

Oleh: Mohd Azmir bin Mohd Razli,
ISMA Shah Alam-Klang
Blog: Kalam Yang Berbicara

  • Share/Bookmark

Penyusuan susu ibu: Mampukah menyelesaikan masalah sosial?

Selamatkan bayi ini dengan penyusuan susu ibu

Setiap hari kita disajikan oleh berita berkenaan dengan masalah sosial yang melanda bukan sahaja di kalangan remaja, malah orang dewasa dan di kalangan mereka yang telah berumahtangga. Ini sesuatu yang menyedihkan dan semua pihak masih lagi tercari-cari jalan penyelesaian yang paling mujarab untuk menghentikan semua isu-isu ini.

Ada beberapa pihak pernah melontarkan kemungkinan punca masalah ini berlaku adalah kerana mereka yang terlibat disusukan dengan susu binatang atau susu lembu. Dek kerana itulah mereka berperangai seperti binatang yang tidak berakal untuk membezakan perkara yang baik atau buruk.

Mungkin juga.

Jadi adakah mereka yang disusukan dengan susu ibu dijamin tidak akan langsung terlibat dengan masalah sosial di kemudian hari?

Itu tidak pasti.

Yang pastinya penyusuan susu ibu boleh menerapkan nilai-nilai murni yang mampu mendokong pembentukan sahsiah yang baik.

Bagaimana ia boleh dicapai?

Penyusuan susu ibu bukan sekadar memberikan susu ibu kepada si anak. Ia lebih kepada jalinan hubungan antara si ibu dan si anak. Rembesan hormon oksitoksin ketika sesi penyusuan dapat mengalirkan perasaan tenang dan membantu melahirkan perasaan kasih dari ibu buat anaknya. Apabila perasaan sayang ini timbul, sudah pasti si ibu tidak akan membuang anaknya. Paling tidak dia pasti akan menyerahkan anaknya kepada orang lain untuk dipelihara daripada membiarkan anak itu di tepi jalan atau di tempat pembuangan sampah.

Polisi penyusuan susu ibu di Malaysia adalah ibu-ibu digalakkan menyusukan anak dengan susu ibu sahaja pada 6 bulan pertama dan penyusuan diteruskan dengan pemberian makanan tambahan selepas itu sehingga 2 tahun atau lebih. Sepanjang tempoh ini ibu dan anak mempunyai masa yang istimewa yang boleh digunakan untuk menerap dan mendidik anak dengan nilai-nilai murni. Hubungan antara ibu dan anak yang menyusu susu ibu akan menjadi lebih rapat. Ini memudahkan lagi untuk menanamkan rasa taat dan patuh arahan dari ibu.

Fitrahnya ibu mempunyai gerak hati yang kebanyakannya tepat terhadap anak terutama anak yang menyusu dengannya. Semakin lama anak itu menyusu dengan ibunya, semakin kuat gerak hati yang terjalin. Gerak hati ini dapat membantu mengesan gerak-geri anak yang mencurigakan.

Penyelamat bagi anak yang dibuang

Dilaporkan baru-baru ini dalam sebuah akhbar terbitan tempatan terdapat lebih 400 pasangan yang mendaftar untuk mendapatkan anak angkat di Baby Hatch Centre. Anak angkat boleh bertukar status menjadi seperti anak sendiri dengan penyusuan susu ibu. Ibu-ibu angkat boleh menyusukan anak-anak ini dengan kaedah cetusan laktasi (Induce Lactation) walaupun mereka tidak pernah mengandung. Penyusuan susu ibu dapat memberi peluang kepada ibu angkat untuk mengenal, membina jalinan dan melahirkan rasa sayang. Sekaligus, anak-anak ini berpeluang mendapat khasiat susu ibu dari orang yang menyayanginya.

Masalah ini adalah masalah bersama. Semua orang bertanggungjawab untuk menghentikan gejala ini daripada berterusan. Bagi mereka yang mempunyai anak, susukan dengan susu ibu, didik mereka dengan asuhan alami iaitu memberi pendidikan agama, banyakkan aktiviti bersama anak-anak dan sentiasa menjadi pendengar utama masalah anak-anak bagi mengelakkan mereka keluar mencari penyelesaian kepada masalah mereka.

Sebagai tetangga/jiran/anggota masyarakat, harus peka terhadap keadaan sekeliling, terutama gerak-geri yang mencurigakan dalam anggota masyarakat. Maklumat/peringatan/tindakan awal dapat menyelesaikan banyak masalah. Masih ingat kisah suami yang mengelar leher isteri sehingga maut baru-baru ini? Si isteri telah pun keluar dari rumah meminta tolong dari jiran tetangga apabila suami mula amuk. Jika jiran tetangga yang tinggal berhampiran bersikap peduli, sudah pasti pembunuhan ini dapat dielakkan.

Suria Irdayu Ahmad Zaidi,
Ahli Bersekutu,
I-Medik Negeri Sembilan

Blog: Nursing Pit Stop

*Puan Suria Irdayu juga merupakan kaunselor laktasi bersama Malaysian Breastfeeding Peer Counselors.

  • Share/Bookmark

« Previous Entries

Powered by WordPress | Designed by Elegant Themes